Lukisan inai pada tangan |
Inai atau henna ini sememangnya sinonim dengan masyarakat india dan melayu. Inai digunakan sebagai hiasan tangan kepada pengantin-pengantin perempuan. Lagi merah lagi cantik.
Aku pulak, dari kecik memang suka pakai inai. Dulu-dulu bila ada orang nak kahwin, mereka akan suruh mak yang gilingkan daun inai dan jadi tukang tempekkan inai pada pengantin. Orang kata, bila mak yang tolong pakaikan inai, inai tersebut merah, ikut darah mak katanya. Lebihan inai dari pengantin, mak akan bawa balik, pakaikan pula pada anaknya. Haha.. ni untung. Mak pula tak payah pakai inai, habis tapak tangan merah sebab menggiling inai. Klasik gila time tu, guna batu giling. Sekarang ni, takda maknanya nak menggiling. Aku guna mesin blender terus. Sekejap ja dah siap, hasil pun membanggakan. Memang merah menyala.
Pokok inai senang ditanam, tak perlu penjagaan yang khusus. Cucuk sahaja ranting inai ditanah, dia akan tumbuh. Lepas tu bila kita rajin trim pokok, lagi cepat dia merimbum dan berdaun lebat. Mak kata daun inai yang merah, duan yang kecil-kecil dan ada tahi lalat, bintik-bintik hitam atas dia. Kalau nak inai yang merah, petiklah daun yang sudah matang. Orang petua, kalau nak inai merah, biar tuan rumah yang tolong keratkan ranting inai, jangan kita memandai ambil sendiri. Mungkin sebab ambil tanpa kebenaran, tak merah la inai tu.
Selalunya, aku akan kerat inai pada belah petang, lepas tu terus cabut-cabut daun inai dari ranting. Lagi segar lagi bagus. Daun inai yang siap dicabut akan diblenderkan. Jangan guna air yang banyak. Letak inai sedikit demi sedikit, biar blender tu boleh bernafas. Haha.. lepas tu, siap. Boleh bau inai yang fresh.
Kadang-kadang bila rajin, aku letak serbuk teh, mesin bersama inai, tujuan nak merahkan lagi inai tu. Aku tak pasti berhasil atau tidak, sebab bagi aku result dia sama ja merah kalah tak letak serbuk teh. Up to you lah nak letak atau tak. Ada juga yang petua letak gambir yang makan dengan daun sirih tu. Aku rasa petua ni ok, sebab merah kan mulut orang yang makan sirih.
Bila siap inai tu diblender, aku akan pastikan aku sudah mandi, makan, solat, dan melakukan kehendak apa yang patut. Lepas tu, bermulalah aktiviti menempek inai. Aku sudah dikira profesional bab menempek inai. Aku boleh pakaikan pada kedua-dua belah tangan inai dengan sendirinya. Caranya adalah denganku pakai memakai sebelah tangan dahulu,aim ruas jari tu elok-elok baru hasilnya nanti kemas dan cantik. Lepas agak hampir keras, jari yang berinai sudah boleh digerak-gerakkan, guna jari tersebut, dengan penuh berhati-hati, tempekkan inai pada jari yang belum dipakaikan inai. Ha.. kalau rasa macam menyusahkan hidup, minta tolong la orang lain.
Aku bukan nak tunjuk terer ke hapa. Mak aku offer ja nak tolong pakaikan inai. Aku yang taknak, sebab mak pakaikan lambat, lepastu tak ikut ruas jari bagi cantik. Bila banyak sangat songeh, pakailah sendiri. Sampailah profesional. Haha.. kadang-kadang tangan gatal, aku tempekkan sekali pada tapak kaki, buka tepi-tepi kaki macam orang kahwin tu. Aku pun malu kalau macam tu. Aku tempek bawah tapak kaki, buat bentuk love bagai. Cantik sangat. Biarlah, bukan ada orang nampak. Haha..
Petua aku sendiri cipta, bila inai dah kering, titikkan air atas jari-jari berinai. Jangan terlalu basah sampai inai jatuh. Cara inai dapat menambahkan kemerahan inai tersebut. Biar inai tu kering lagi. Time pakai inai, rasa jari seperti disedut-sedut. Mungkin disebabkan proses penyerapan inai kedalam kulit dan kuku. Bila dah tengah malam, dan mengantuk. Inai pun dah kering, aku akan basuh. Lebih kurang 4 jam. Siapa nak pakai lebih lama, bawa tidur pun boleh. Selepas buka inai, basuh sampai bersih sisa daun inai, cepat-cepat sapu minyak kayu putih. Petua ini untuk merah inai tersebut nampak cantik, berkilat, menawan. Auumm..
Esok bila bangun tidur, bahagia sangat tengok jejari merah berinai, perasan seperti ratu dizaman silam. Ada juga spot inai yang terlebih merah, sampai nampak kehitaman, jangan risau, sebab akan hilang bila warna inai makin pudar. Mengikut pemerhatian aku, inai jadi hitam pada jari-jari yang banyak tugas, seperti menekan, iaitu jari ibu. Kehitaman juga jadi pada kulit-kulit jari yang kering. Hitam tu jadi sebab inai terlalu merah mak ngah. Kalau ada yang suka inai warna jingga-jingga bolehlah dipakaikan setengah atau satu jam sahaja.
Merah tak inai aku. Cover dengan bunga sebab malu. Haha.. |
Ada orang yang kata, anak dara tak elok pakai inai, sebab nanti bila kahwin, pakai tak berseri. Bagi aku, biarlah. Inai itu perhiasan, bukan sahaja masa berkahwin. Malah ada juga yang berkahwin pakai inai tube segera. Bagi aku inai itu tak original. Jangkamasa merah inai tube juga tak lama seperti inai daun. Bukankah lebih elok berinai, dari menghias kuku dengan perwarna kuku.
Dulu time belajar, aku pakai inai sebelum balik ke universiti yang jauh kena naik kapal terbang. Tak boleh nak balik rumah selalu. Awal-awal semester, orang tengok jari aku merah, akan kata aku balik kampung berkahwin. Bila hujung semester, inai pun tinggal secoet hujung-hujung kuku. Jadi aku gunakan inai sebagai pengukur masa aku tiap-tiap semester, bila inai sudah nak habis, bermakna aku akan balik kampung, cuti semester. Hahaha...
No comments:
Post a Comment