Wednesday, 22 October 2014

I want to touch a dog - Saya nak sentuh anjing

Kempen I Want To Touch A Dog yang telah diadakan pada 19 Oktober yang lepas. Objektif yang pihak penganjur inginkan adalah mengatasi rasa takut terhadap anjing, dan menjadikan rakyat Malaysia lebih bertoleransi tidak kira budaya, kaum, dan agama.

Rata-rata pengunjung yang menyertai dan gambar-gambar mereka viral di media sosial terdiri daripada yang memakai tudung. Malah ada yang membawa anak kecil dengan bangga memegang anjing.




Agama islam telah mengatakan bahawa anjing dan babi itu adalah haram. Kedua-dua binatang ini tergolong dalam najis berat. Apabila kita bersentuhan dengan kulit, bulu, badan, mahupun najisnya, kita perlulah samak, sertu, atau apa sahaja panggilan yang anda sebut- iaitu membasuh dengan sekali air campuran tanah, kemudian 6 basuhan air bersih. Saya husnuzon, semua peserta muslim berjaya membersihkan anggota badan mereka yang telah bersentuhan ini dengan sebaik-baiknya.

Apakah keperluan peserta yang muslim untuk memegang anjing? Adakah darurat? Adakah anda doktor veterinar yang merawat? Anda polis k9? Anda sedang menbantu anjing dalam kesusahan? Dan adakah anda memang mahu mengatasi fobia terhadap anjing? Ataupun anda mahu nampak tendy, menjadi popular, boleh uploads gambar dalam facebook, twitter? Niat anda hanya anda yang ketahui.

Objektif untuk mengatasi rasa takut saya rasa tidak perlu sehingga bersentuhan. Saya tidak rasa majoriti melayu islam kita mempunyai fobia melampau terhadap anjing sehingga perlu terapi sentuhan. Lagi ramai fobia ular, cicak, dan labah-labah.

Muslim dan anjing bukan satu hubungan yang sentiasa negatif. Jika seorang muslim berjumpa dengan seekor anjing, tidaklah sampai anjing tersebut disepak terajang, dipukul dan sebagainya. Habis kuat dielak, atau dihalau supaya anjing menjauhkan diri. Bukan apa, takut terkena, satu kerja pula nak menyamak.

Saya sendiri membesar dalam kejiranan majoriti masyarakat cina. Menjadi kebiasaan bertembung dengan anjing, terpijak tahi anjing, dikejar anjing, dan salak juga adalah perkara biasa bagi saya. Kasut sekolah saya juga pernah dilarikan anjing, tapi tidak pula sampai saya mahu memukul anjing tersebut. Saya mengambil dan samak kasut tersebut, dan boleh digunakan semula. Apa masalahnya.. hukum islam hanya menjadi susah, kuno kepada mereka yang tidak tahu. Lepas samak, dah ok. Easy.

Tidak semestinya muslim kejam terhadap anjing. Mungkin ada segelintir yang anda kenal. Tapi sebagai muslim, kami juga menghormati semua makhluk Allah termasuk anjing dan babi. Rumah saya tidak berpagar, mudah dimasuki anjing. Jika ada anjing yang datang berteduh dihadapan rumah bila hujan, kami biarkan saja. Masih ada belas kasihan terhadap binatang. Itu yang islam ajarkan.

Suatu hari ada anjing yang tercedera, saya tidak pasti akibat digigit anjing lain ataupun dipukul manusia. Anjing tersebut berehat di belakang rumah saya, keluarga kami tidak menghalau. Sebaliknya meminta tolong jiran cina kami mengalihkan anjing tersebut, kasihan melihat anjing tersebut tidak boleh berjalan. Cantik sahaja ikatan toleransi sesama jiran yang memahami.

Jika muslim dikatakan kejam terhadap anjing, sehingga perlu untuk mengajurkan kempen sedemikian, anda perlu kembali berfikir. Jiran saya juga seorang islam, meletakkan satu tempayan daun teratai, kerapkali saya lihat akan ada anjing yang akan datang minum daripada bekas tersebut. Tidak ada masalah. Jiran saya juga tidak membuang bekas tersebut, tidak  pula menghalau anjing yang datang minum. Anjing juga makhluk Allah.

Islam adalah agama yang kuat, kukuh, dan tidak ada hukum dalam islam yang boleh kita tukar sesuka hati. sekiranya kira begitu mudah mengubah hukum hakam agama mengikut kehendak sendiri, maka tidak ubahlah kita seperti kaum-kaum yang terdahulu yang mendustakan apa yang diturunkan Allah kepada mereka.

Larangan agama islam mengenai anjing dan babi mungkin nampak kecil dan tidak munasabah kepada mereka yang tidak memahami ajaran islam. Tapi dengan yang kecil itulah kita perlu berusaha menjauhi. Pasti akan ada keberkatan. Lupakah kita dengan kisah larangan memakan buah khuldi ( epal, dalam kepercayaan agama lain) yang penting anda tahu kisah ini. Nabi Adam dan isterinya Siti Hawa telah diturunkan ke bumi kerana telah melanggar larangan mudah tersebut. Sama juga konsepnya, Allah tetapkan larangan manusia yang hidup di bumi untuk tidak makan berasaskan babi, anjing, arak, dan sama waktu dengannya. Ikut sahaja. Menyentuh tidak mengapa, tapi perlu samak dan ada keperluan.


Tidak perlulah untuk kita menyertai kempen seumpama ini lagi pada masa hadapan bagi mengelakkan fitnah, menjauhkan daripada perkara yang was-was atau syubhah. Senang sahaja islam ini, kalau awak terpegang, samaklah. Memang comel sangat-sangat bila tengok anjing, saya pun rasa terigin nak bela seekor kalau boleh. Bagaimanapun kita perlulah patuh kepada apa yang telah dilarang oleh agama. Yang pasti jangan awak membela dalam rumah, main-main atas sofa, cium-cium, selfie bersama anjing. Banyak lagi binatang yang lebih baik dibela seperti kucing. Rasulullah juga sayangkan kucing. Kalau awak alah kucing, bosan dengan kucing, awak belalah ikan, sugar glinder, ayam, gajah, naga, kutu, kutu babi sekalipun.

Setelah kempen ini dianjurkan, ramai yang memberi reaksi negatif dan positif. Namun bila ulamak, agamawan, mufti, tok guru yang menegur, mereka ini pula dihentam. Kempen ini menimbulkan masalah lain pula. Hormatlah kepada agamawan. Jangan malu menjadi islam. Perbezaan yang membuatkan kita semua rakyat Malaysia istimewa.

Banyak lagi cara nak pupuk toleransi rakyat Malaysia ini. Janganlah sampai perlu mengubah diri, identiti kita menjadi seperti bangsa lain. Kita adalah kita. Malaysia itu kaumnya berbeza. Kita terima perbezaan tersebut dengan rasa bangga dan hormat. Ini adalah pandangan daripada saya seorang marhein yang sangat kurang ilmunya, namun mungkin dapat memberi sedikit pencerahan.

P/s: toleransi rakyat Malaysia makin kerap diuji kebelakangan ini. Mengapa ek? Didoakan kita semua semakin matang menilai. Hidayah milik sesiapa sahaja.

No comments:

Post a Comment